Hai pelajar semuanya!

Menjelang harinya menghadapi peperiksaan, pasti kamu mesti rasa panik dan takut untuk berhadapan dengan soalan-soalan yang bakal memerah otak anda...

Cara terbaik untuk tidak gelabah ketika berhadapan dengan peperiksaan sekolah/kuliah adalah dengan mengawal emosi. Ini sangat penting agar pelajar tidak jadi "blank" apabila melihat soalan-soalan peperiksaan yang bakal dilalui nanti.

Tenang...

Itu adalah perkara biasa untuk semua pelajar berhadapan dengan peperiksaan, kerana pelajar sendiri tidak akan tahu apa soalan-soalan peperiksaan yang bakal keluar.

So, di sini Jovie akan berkongsi beberapa tips yang penting untuk kamu turuti agar urusan anda dipermudahkan.





PERSEDIAAN MENTAL UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN:
  1. Kita perlu mengawal emosi apabila tarikh peperiksaan semakin dekat. Jangan terlalu cemas dan jangan terlalu bersahaja. Kita harus mempunyai emosi yang stabil untuk menghadapi peperiksaan.
  2. Tarikh peperiksaan harus ditandakan pada kalendar pada awal pembelajaran supaya kita tahu di mana garisan penamat kita. Kita harus bermula awal supaya kita bersedia dan dapat mengatasi masalah demam peperiksaan seperti panik dan cemas nanti.
  3. Kita juga harus melengkapkan diri dengan pengetahuan yang mencukupi tentang peperiksaan tersebut seperti tempoh peperiksaan, format peperiksaan dan maklumat lain yang berkaitan. Hal ini akan membantu kita untuk menghadapi peperiksaan dengan tenang.
  4. Sentiasa bayangkan diri kita berada di dalam dewan peperiksaan dengan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan mudah dan yakin. 



SEHARI SEBELUM PEPERIKSAAN:
  1. Pastikan kita telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi peperiksaan. Pada hari ini, kita seharusnya tidak lagi membaca buku, sebaliknya hanya mengulangkaji nota, Flash Card dan NeuroNotes yang telah disediakan sebelum ini.
  2. Lakukan juga aktiviti pembelajaran 'Output' seperti mencuba menjawab soalan-soalan tahun lepas, mencuba mengingat isi-isi penting yang telah diingat menggunakan teknik ingatan, buatkan NeuroNotes dan berbincang dengan rakan-rakan kumpulan belajar.
  3. Selain itu, pastikan kita tidur awal, Hal ini penting kerana tidur yang mencukupi akan membantu kita menghadapi peperiksaan dengan yakin dan tenang.
  4. Sebelum itu, pastikan kita membayangkan keadaan kita di dalam dewan peperiksaan dengan perasaan yang tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan mudah dan yakin. Hal ini akan membantu kita dalam mencapai kejayaan yang cemerlang.

HARI PEPERIKSAAN:
  1. Periksa semua keperluan peperiksaan seperti kad pengenalan dan alat tulis adalah lengkap dan berfungsi dengan baik. Pastikan kita makan dengan kadar yang sederhana. Sebarang keadaan seperti terlalu kenyang atau terlalu lapar akan mengganggu prestasi peperiksaan kita.
  2. Pastikan kita tiba lebih awal di tempat peperiksaan. Hal ini akan membantu kita untuk berada dalam keadaan tenang. Perhatikan keadaan di dewan peperiksaan dan biasakan diri dengan peperiksaan tersebut. Kemudian lakukan persediaan mental dengan sekali lagi membayangkan kita berada dalam keadaan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan yakin dan mudah.
  3. Jangan lakukan sebarang pembacaan baru. Masa-masa yang terakhir ini tidak sesuai untuk sebarang pembacaan baru. Kita hanya perlu melakukan ulang kaji terhadap apa yang telah dipelajari.
  4. Jauhi rakan-rakan yang panik dan sibuk membaca buku mereka. Keadaan mereka yang panik mungkin akan menjadikan kita turut cemas.


SEMASA PEPERIKSAAN:
  1. Pastikan kita sentiasa fokus dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap menjawab soalan-soalan peperiksaan. Jangan hiraukan apa yang berlaku dengan rakan-rakan kita seperti kecepatan mereka menjawab soalan dan sebagainya. Kita harus yakin dengan cara kita.
  2. Pastikan kita menjawab semua soalan yang dikemukakan. Selesaikan soalan yang mudah terlebih dahulu dan jangan sekali-kali menghabiskan masa yang terlalu lama untuk menjawab soalan yang sukar. Tinggalkan soalan yang sukar dan kembali kepada soalan tersebut setelah selesai menjawa soalan yang lain.
  3. Baca setiap soalan dan arahan dengan berhati-hati. Jangan sekali-kali kehilangan markah kerana kecuaian membaca soalan dan arahan.
  4. Bahagikan masa peperiksaan kita dengan bijak. Sekiranya masa yang lebih diperlukan, kembali kepada soalan tersebut sekiranya ada waktu yang terluang setelah habis menjawab soalan-soalan lain.
  5. Pastikan kita menggunakan masa yang diperuntukkan dalam peperiksaan tersebut dengan sepenuhnya. Jangan tinggalkan dewan peperiksaan sebelum tamat masa peperiksaan walaupun kita telah selesai menjawab semua soalan.
  6. Relakskan pemikiran kita dan periksa semua jawapan yang ditulis semula. Otak yang berada dalam keadaan tenang mungkin dapat menjana isi penting yang dapat ditambah.
  7. Seandainya kita menghadapi masalah untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan kerana kita cemas atau panik, maka kita harus cuba untuk menggunakan sistem pernafasan, senaman otot dan senaman minda untuk membantu kita kembali tenang dan relaks.
  8. Namun begitu, kita harus ingat bahawa satu-satunya cara untuk mengelakkan kita menghadapi keadaan cemas dan panik adalah dengan melakukan persediaan yang menyeluruh. Pastikan kita bersedia dan mengamalkan sistem belajar cemerlang dengan tekun dan gigih.


MENGHADAPI PEPERIKSAAN - SOALAN OBJEKTIF:
  1. Kita harus menguruskan masa untuk menjawab soalan objektif dengan bijak. Contohnya, sekiranya terdapat 50 soalan objektif yang harus dijawab dalam masa 60 minit, kita haruslah memperuntukkan kira-kira 1 minit untuk setiap soalan dan baki 10 minit lagi digunakan untuk memeriksa semua soalan bagi memastikan setiap satu telah dijawab.
  2. Pastikan kita menjawab semua soalan  yang mudah terlebih dahulu. Kalau boleh, jimatkan masa pada soalan mudah agar masa tambahan ini dapat digunakan untuk kita berfikir lebih lama ketika menjawab soalan yang mencabar. Setelah selesai menjawab soalan mudah, barulah tumpukan perhatian terhadap soalan yang lebih mencabar.
  3. Pastikan kita membaca setiap soalan serta cadangan jawapan yang disediakan dengan cermat. Soalan objektif selalaunya akan mencuba menguji tahap ketelitian kita. Oleh itu, pastikan kita membaca setiap perkataan dalam soalan dan jawapan dengan teliti.
  4. Lakukan pemilihan secara aktif. Baca soalan dan jawapan dengan penuh fokus, kemudian gariskan kata-kata kunci dan isi-isi yang kelihatan sesuai. Sekiranya kita masih gagal memilih jawapan, cuba tuliskan apa yang kita fahami pada kertas lain atau cuba lukiskan NeuroNotes mengenai topik tersebut. Kita juga boleh mencuba membayangkan apa yang berlaku sewaktu kita membaca topik tersebut.



MENGHADAPI PEPERIKSAAN - SOALAN ESEI
  1. Kita harus menulis esei dalam bentuk yang mudah untuk dibaca dan difahami kerana kita harus ingat bahawa guru pemeriksa perlu membaca esei yang ditulis oleh berpuluh-puluh malah beratus-ratus orang pelajar.
  2. Baca soalan dengan cermat dan cari apa kehendak soalan yang sebenar. Berikan perhatian kepada kata kunci seperti "kebaikan","keburukan", "bandingkan", "kesimpulan", "proses" dan sebagainya. Pastikan kita memenuhi segala kehendak khas soalan seperti lukisan gambar rajah atau jadual, berikan 3 contoh dan yang sumpamanya.
  3. Setelah selesai membaca soalan, luangkan kira-kira 10% daripada masa yang diperuntukkan bagi menjawab soalan tersebut untuk menghasilkan rangka jawapan. Tuliskan isi-isi penting yang perlu dibincangkan dan dikupas dan cuba bentuk NeuroNotes mengenai topik esei yang perlu ditulis.
  4. Pastikan semua rangka esei ditulis di atas kertas jawapan dan dihantar bersama-sama esei penuh. Tujuannya untuk memastikan guru pemeriksa dapat memahami apa yang ingin kita bincangkan.





DAN JANGAN LUPA BERDOA KEPADA TUHAN AGAR DIPERMUDAHKAN SEGALA USAHA ANDA DALAM MENJAWAB SEMUA SOALAN PEPERIKSAAN YANG BAKAL ANDA HADAPI NANTI... AMINNN.




Sumber tips : Buku Memory Booster, Terbitan Oxford Fajar Sdn.Bhd ( 2011 ) ISBN: 978 983 47021 68

0 Comments