Hai, salam semuanya !

Sudah lama saya tidak mengulas tentang buku yang telah saya baca sepanjang musim pandemik berlaku. Nampaknya, konflik pandemik sampai ke hari ini masih belum ada baiknya malah membuatkan lebih banyak yang terkesan dari aspek keruntuhan sistem politik negara, isu sosial, ekonomi yang melibatkan masalah peribadi dan lingkungan yang mempengaruhi kesan psikologi seseorang individu.

Saya yang sedang menyaksikan belenggu pandemik yang menghentam kesakitan seluruh dunia ini turut tergoncang dengan perbalahan isu dunia yang bertubi-tubi meruntuhkan kedamaian sejagat. 

Sungguh jahat virus ini kepada dunia, tiada sesiapa yang menginginkan kejadian ini berlaku dalam hidupnya. Namun, apalah daya kita untuk melawan kitaran musim dunia. Mungkin inilah apa yang dikatakan kesempatan generasi tertentu melalui pengalaman pahit dan bergantung dengan peribadi kita sekuat mana perjuangan kita bertahan melalui pandemik yang maha dahsyat ini.

Rugilah juga kualiti hidup sepanjang kita berlindung dalam rumah jika tiada bahan bacaan untuk mengasah kemahiran berfikir dan merenung hakikat diri daripada hasil nukilan penulis.

Maka, saya begitu teruja untuk membeli buku kumpulan cerpen Haniff Yusoff yang bertajuk Kakak Saya Hidup Semula yang diterbitkan oleh Legasi Oakheart. Sewaktu saya membelinya secara dalam talian, buku ini sudah memasuki cetakan kedua pada November 2019.

Apa yang membuat saya tertarik ingin membelinya?

Saya telah membaca karya eceran beliau menerusi akhbar tempatan Sabah dan ternyata karyanya mempunyai kualiti gaya kepengarangannya yang unik dan tersendiri.

Setelah saya memperhatikan sedikit biodata dan penglibatan penulis dalam dunia penulisan, ternyata penulis ini sangat prolifik dalam mengikuti mana-mana pertandingan luar berkaitan penulisan, malahan beliau selalu memenangi peraduan yang disertainya.

Sebenarnya terdapat beberapa buku yang telah penulis hasilkan, dan buku inilah yang telah berjaya menarik minat saya untuk membelinya. 

Ilustrasi pada buku ini sangat menarik minat saya, membuat saya tertanya-tanya apakah isi di sebalik nama tajuk buku ini diberi. Setelah saya melihat pada senarai tajuk cerpen dalam buku ini, membuatkan saya bertambah teruja untuk mengetahui apakah isi ceritanya.

Saya tidak berani untuk mengulas satu persatu, biarlah yang sedikit ini menonjolkan 'thriller' atau spoiler yang membuat para pembaca terpancing dengan mesej penulis yang penuh dengan sindiran dan sarkastik!

Daripada 12 karya cerpen yang termuat dalam buku ini, saya sangat terkesan dengan mesej yang diceritakan dalam cerpen penulis yang bertajuk Dunia Saya Ialah Sebuah Bilik.

Saya tidak akan menyalin semula isi cerpen tersebut secara keseluruhannya, namun apa yang dapat saya simpulkan secara peribadi ialah penulis amat peka terhadap personaliti dan karakter dirinya. Saya cukup terkesan dengan penyampaian isi cerita penulis kerana cerita ini sungguh menusuk dan malahan memberi kesan yang juga pernah terjadi dalam dunia kehidupan saya sendiri. Penulis mampu menterjemahkan maksud diamnya yang sungguh polos dan naif menyampaikan rahsia hati menerusi cerpen ini. 

Benarlah, saya juga tidak tahan menghadapi kerusuhan dunia di luar sana yang langsung tiada kena-mengena dengan peribadi saya. Sungguh dunia di sana benar-benar menggugat kesabaran dan ketenangan diri sendiri.

Dalam cerpen tersebut, penulis menghadirkan suatu bait-bait yang cukup pedas dan tajam pada mereka yang tidak faham pada karakter seorang pendiam.

" Tiada sebarang faedah pun untuk saya memikirkan kata-kata orang sedangkan banyak lagi perihal keseronokan yang patut saya utamakan. Petikan ayat daripada cerpen" Dunia Saya Ialah Sebuah Bilik, muka surat 97.

Seringkali orang awam melabelkan orang diam sebagai orang yang kurang cerdik, lurus bendul, bingung, sunyi, membosankan, monotonous...

Mungkin tidak semua kenal mereka secara lebih peribadi kerana mereka juga tidak selesa dengan karakter dingin yang ada pada peribadi individu tersebut. Saya setuju dengan penyampaian sinis yang disampaikan oleh penulis ini, malah membuka hati saya untuk terus menembak sasaran tertentu dengan nada yang cukup bombastik atau penuh kiasan melalui kata-kata.

Sesungguhnya kita bukan siapa-siapa, namun penulis itu sendiri menegaskan bahawa ramai yang menjadi orang label diam sebagai suatu bentuk kelemahan, ternyata itu salah sama sekali!

Sungguh cerpen ini hebat bagi saya!

Sebuah lagi ulasan daripada cerpen yang termuat dalam buku ini, yang bertajuk " Tetuang Udara". Cerita cerpen ini mengingatkan saya pada kebangkitan saya sewaktu menyambung pengajian ijazah di Universiti Malaysia Sabah dalam menemui terbitnya hati saya untuk lebih mengenal budaya saya sendiri, bahasa ibunda saya dan keindahan pada gaya tradisional lama yang masih terpelihara dalam negara Malaysia sendiri. 

Dahulu, saya sangat terpancing dan diracuni akan kehebata dunia hiburan di luar negara hingga sampai satu saat saya memasang impian untuk lari mencari kepopularan hati dalam bidang hiburan. Sesungguhnya, ketika itu hati saya sangat polos dan terkena jangkitan itu, hahahaa!. 

Kini, saya anggap itu salah satu sikap saya yang hampir lupa diri untuk menghargai kualiti budaya dan bangsa jati diri saya sendiri. Biarlah sejarah itu menjadi suatu hiburan renungan saya di hari tua. ( Anak muda, jangan lupa identiti asal. Cari potensi diri yang sebenar tanpa pengaruh sesat yang tidak menjamin kualiti hidup! )

Berbalik pada cerita cerpen tersebut mengenai cerita si pemuda yang saya kira sifatnya yang sangat pendiam yang hidup demi mandiri mencari kehidupan di kota raya. Ternyata, keriuhan di kota raya tidak dapat mengubat rasa kesunyiannya malahan membuatnya bertambah rimas dengan kehadiran orang-orang awam dengan cerita kosong yang bertempiaran di sana sini. Saya dapat menangkap bahawa hidup di kota bukanlah hal yang mampu mengubah peribadinya untuk jadi lebih tenang, malah bertambah tidak tenang berhadapan dengan gambaran suasana kota raya yang sungguh membingungkan dan menambahkan rasa keasingan dalam diri!

Pengaruh pemodenan di kota raya telah menenggelamkan budaya klasik orang melayu yang dahulunya sangat berjiwa klasik dan santun menyapa. Di kota raya, sifat sebegini agak sukar untuk diadaptasikan lagi kepada generasi bandar yang menganggap bahawa generasi yang masih bergantung pada tradisi lama seperti orang yang selalu ketinggalan dan tidak mengikuti trend terkini dunia!

Sampailah si pemuda dalam cerita tersebut menemui orang asing yang agak kampungan dan hidup mencari rezeki dengan menjual Tetuang Udara tersebut. ( Ingin tahu apakah yang dimaksudkan tetuang udara, sekali lagi saya sarankan anda untuk membeli buku kumpulan cerpen ini! hahaha...)

Tetuang Udara itu akhirnya berjaya mengembalikan semula rasa jati dirinya untuk mencintai Bahasa Ibundanya, melodi daripada tetuang udara yang membangkitkan rasa gelora jiwanya melalui lagu-lagu irama Melayu Klasik.

Amboi, hahaa...sejujurnya saya tidaklah mahu mengaitkan review buku dengan limpahan teori yang buat pembaca merasa takut untuk berhadapan dengan kemeriahan dunia sastera di negara ini, cukup bagi saya mengatakan pendapat yang jujur dari hati saja. Mungkin inilah kelembutan yang boleh memancing budaya membaca pada masyarakat Malaysia itu sendiri.

Sekian inilah saja pendapat yang ingin saya kongsikan buat kamu. Saya ulas kerana saya tertarik dengan karyanya!

Lepas ini, mahulah juga beli karyanya yang lain, tunggu rezeki memihak kepada saya dulu, hehee...


Suka juga saya kongsikan sumber untuk anda semua dapatkan buku kumpulan cerpen ini:


Link Tempahan : Kakak Saya Hidup Semula

Klik : Legasi Oakheart   


JEMPUT BACA REVIEW DAN ULASAN BERKAITAN BUKU INI MENERUSI PAUTAN BERIKUT :

Ulasan Buku : Kakak Saya Hidup Semula Karya Haniff Yusoff

Bangpis x Haniff Yusoff : Kakak Saya Hidup Semula